Perkhemahan Di Teluk Resang
Dalam
entry kali ini saya ingin berkongsi pengalaman tentang ceritera
aktiviti perkhemahan kami di tepi pantai Teluk Resang, Mersing. Aktiviti
yang sememangnya sangat menarik dan memberi seribu pengalaman sebagai
kenang-kenangan yang tidak dapat dilupakan. Teluk Resang terletak di
antara Mersing dan Rompin, Pahang. Perjalanan kami sebanyak 5 buah
kereta yang bergerak secara konvoi dari Johor Bahru memakan masa hampir 2
jam setengah untuk sampai ke destinasi perkhemahan kami di Teluk
Resang, Mersing selama 3 hari 2 malam.
Perjalanan
kami bermula seawal pukul 9 pagi dan mengambil kawan-kawan yang turut
serta di rumah masing-masing. Setelah berkumpul di stesyen minyak
bersebelahan Jusco Tebrau sekitar pukul 11 pagi, kami memulakan
perjalanan ke Mersing. Aktiviti kali ini adalah lebih kepada santai
dimana ramai kawan ada yang membawa suami, isteri, anak-anak dan yang
paling penting adalah ramai anak dara, dan tidak ketinggalan saya juga
yang masih dalam kategori lelaki bujang ini yer =) saya hanya membawa
diri sendiri ditemani kereta yang setia berada di sisi. Sesampainya kami
di lokasi perkhemahan, cuaca agak redup dan nyaman dengan angin laut
yang sepoi-sepoi bahasa bertiup. Seperti biasa, para lelaki telah biasa
dan faham akan tugasan masing-masing di mana ada yang memasang khemah,
ada yang mengangkat barang dan ada juga yang mencari kayu untuk di buat
unggun api pada malam hari. Para wanita lebih kepada kerja memasak,
menyediakan makanan dan mengemas peralatan. Satu kerjasama yang
sememangnya patut saya puji kerana segala urusan berjalan dengan amat
lancar sekali.
Khemah
didirikan berbentuk bulatan, ini bagi tujuan keselamatan dan
mengelakkan gangguan orang luar dan tidak dikenali. Selain itu juga,
dengan adanya bentuk begini, khemah dapat diperhatikan oleh setiap
peserta dari khemah makan dan pantai.
Apa
yang menariknya pada aktiviti kali ini adalah pasti ada kekecohan yang
acap kali berlaku antara budak-budak kecil hingga ada yang menangis
teresak-esak dan bergaduh berebut mainan. Ianya sesuatu intipati
menarik bagi setiap aktiviti santai seperti ini =) Pada waktu petang
pula, aktiviti bebas diadakan mengikut keselesaan masing-masing. Ada
yang bermain bola sepak pantai, membina istana pasir dan tidak
ketinggalan juga ada yang mandi laut. Bagi memeriahkan aktiviti malam
daripada tidak terbuang begitu saja, aktiviti suaikenal dimulakan bagi
menyelesakan dan merapatkan ikatan silaturrahim antara setiap peserta
kerana memang ada antara kami yang tidak saling kenal dengan yang lain
termasuk saya.
Aktiviti
petang iaitu bermain bola sepak pantai yang di wakili oleh kaum wanita
kerana itu adalah satu pengalaman yang jarang kali dapat mereka alami di
tempat lain. Di sinilah mereka dapat merasakan pengalaman seumpama itu,
dengan cuaca yang redup dan pantai yang luas memudahkan mereka untuk
bermain sehingga penat sebelum mandi di tandas dan solat maghrib
seterusnya menunggu makan malam dan aktiviti lain.
Saya
juga tidak ketinggalan untuk membawa gitar akustik kegemaran saya
setiap kali mengadakan aktiviti perkhemahan seperti ini, kerana ilham
mencipta lagu ketika di malam hari di tepi pantai pasti sentiasa datang
kerana banyak idea dan sumber inspirasi sentiasa hadir pada ketika kita
tenang dan dapat melihat ciptaan alam yang terbentang luas seperti ini
=) Walaupun saya tidak gemar memainkan gitar dan memainkan lagu kepada
semua, namun gitar itu adalah bebas kepada sesiapa yang ingin belajar
untuk bermain gitar sambil ketawa melepaskan segala tekanan kerja dan
masalah lain. Adakalanya juga saya mengajar mereka bermain gitar sambil
menyanyikan lagu atas permintaan mereka, tetapi khas pada waktu itu saja
yer =)
Pada
waktu pagi pula, saya menyewa 2 biji kayak sebagai aktiviti tambahan di
laut, oleh disebabkan para kaum hawa ini ramai yang tidak pernah
berkayak sebenarnya, manakala saya pula sememangnya mempunyai sijil
jurulatih antarabangsa semasa menghadiri kursus Wilderness Adventure
Camp di Langkawi suatu ketika dulu di mana kami diajar untuk tidak mandi
selama seminggu, hanya membawa 3 helai baju dan diberikan sebotol air
sahaja setiap seorang lelaki dan perempuan, tidur di dalam hutan
belantara di Pulau Tuba tanpa khemah sempurna dan terbuka, belajar untuk
mencari "camp site check point" hanya berbekalkan peta dan kompas,
berkayak seharian di tengah laut dan di ajar segalanya berkaitan
aktiviti kayak laut termasuk operasi menyelamat, menaiki kapal kargo
ditengah laut sehinggakan dapat melihat sendiri ikan dolfin
melompat-lompat di depan kami sewaktu menunggu bot laju sampai di jeti
serta mempelajari pelbagai teknik untuk terus hidup di dalam hutan
belantara serta banyak lagi ilmu yang bermanfaat kepada kami semua.
Oleh
itu, bagi memenuhkan permintaan mereka, kami membawa mereka untuk
berkayak di tengah laut dan seterusnya membuat perkara yang sama kepada
mereka yang ingin merasa aktiviti berkayak di laut. Ia sememangnya suatu
pengalaman yang menarik lagi seronok =) Aktiviti di pantai juga amat
menarik kerana setelah kami semua sudah mesra dan tidak segan, banyak
aktiviti riadah dapat dilakukan bersama. Gelak tawa kami memecahkan
suasana di Teluk Resang dengan pelbagai gelagat mereka yang berbagai
kerenah.
Setelah
puas mandi manda di laut, masing-masing kelaparan dan tiba masa untuk
makan, dan semuanya telah tersedia, oleh itu perjalanan aktiviti
perkhemahan ini sememangnya amat menarik sambil saya boleh berkenalan
dengan ramai kawan baru samada lelaki atau perempuan dan juga berkongsi
pengalaman tentang hidup masing-masing. Suasana laut di waktu malam amat
indah dengan bintang-bintang yang berkerlipan dan alunan angin yang
bertiup membuat anda merasa sangat tenang dan nyaman sekali.
Setelah
3 hari kami berkhemah di sana, tibalah masa untuk berkemas pulang,
ianya suatu pengalaman yang amat berharga dan menyingkap sejuta kenangan
kepada kami semua dan pastinya akan kami cuba untuk lakukan aktiviti
seumpama ini di masa akan datang lagi. Kepada anda di luar sana yang
sememangnya tiada pengalaman seumpama ini, pastikan anda merasakannya
bersama kawan-kawan ada ataupun kawan baru yang mungkin anda boleh kenal
lebih rapat. Tapi andai ingin turut serta bersama saya dalam aktiviti
seterusnya adalah amat-amat dipersilakan, sambil kita boleh berkenalan
dengan ramai kawan-kawan baru, kita juga dapat mempelajari pelbagai
pengalaman baru. Setakat ini saja yang dapat saya kongsikan untuk bacaan
dan tatapan kawan-kawan semua, dan akhir kata dari saya, "Bersama Kita Menikmati Keindahan Alam Inspirasi Semulajadi". =)
0 comments:
Post a Comment