Eksplorasi Air Terjun Kota Tinggi
Selesai
sudah program pengajian master saya di UTM Skudai secara rasmi.
Alhamdulillah, saya ada banyak masa sekarang untuk fokus kepada
perniagaan syarikat saya semula dan yang pasti saya sudah kembali aktif
untuk berblog =) Apa yang ingin saya kongsikan untuk kali ini adalah
tentang percutian saya di Kota Tinggi Waterfall Resort. Lokasinya
terletak di Kota Tinggi Johor dan merupakan salah satu tarikan utama di
sini yang mana ianya menjadi lokasi percutian tumpuan para pelancong
luar negara dan warga tempatan.
Saya
berkesempatan untuk bercuti di Air Terjun Kota Tinggi, perjalanan yang
mengambil masa lebih kurang 20 minit dari simpang utama untuk menuju
masuk ke dalam kawasan hutan dan jalan yang berliku-liku jauh ke dalam
sehingga anda akan ternampak gerbang utama untuk masuk ke kawasan Resort
Air Terjun tersebut. Bayaran masuk untuk orang dewasa tidak silap saya
RM7 seorang dan bayaran untuk kereta dalam RM4. Agak mahal sebenarnya
kalau dibandingkan dengan percutian saya yang lepas di Gunung Ledang di
mana bayaran masuk cuma RM2 sahaja.
Dengan
cuaca yang panas terik, amat sesuai untuk anda bersantai bersama rakan
atau keluarga kerana air terjun di sana sememangnya amat sejuk sehingga
mampu membuat anda menggigil walaupun di tengah terik matahari. Saya
sendiri pun 4 kali turun mandi, menggigil naik semula, kemudian turun
lagi, kemudian lapar, beli burger kemudian turun lagi sekali sampai
puas. Rasa macam nak berendam je lama-lama sampai malam dalam air yang
sejuk tu =) Adakalanya amat seronok dan mampu menghilangkan tekanan
kerja anda apabila mandi di Air Terjun di sini, penat badan anda akan
hilang dan seakan-akan dijana semula selepas mandi.
Suatu
tarikan dan pengalaman yang pada saya harus anda alami sendiri kerana
kepuasan mandi di Air Terjun Kota Tinggi ini amat berharga. Lapisan air
terjun dibahagikan kepada beberapa tangga yang ditakung untuk keselesaan
anda mandi manda. Satu lagi kelebihan di sana juga adalah anda boleh
duduk dibawah titisan air terjun tersebut kerana keadaannya yang cetek
tidak sama seperti yang berada di puncak atasnya. Bagi kaum lelaki pula,
mereka lebih suka untuk mendaki bukit menerusi tangga simen yang
disediakan untuk mandi di air terjun bahagian atas. Cuma persekitaran
air terjun di bahagian atas adalah amat dalam dan terlalu sejuk. Selain
itu juga, ianya amat bahaya kepada anda yang tidak pandai berenang dan
terlalu cuai kerana kerap berlaku kematian mati lemas di bahagian atas
tersebut. Jangan mandi ketika hujan lebat kerana ianya mengundang
malapetaka yang tak disangka.
Selain
itu, ramai photographer mengambil gambar kesukaan mereka mengikut
citarasa masing-masing, ada yang mengambil gambar binatang atas pokok
seperti monyet dan burung, ada yang mengambil gambar permandangan dan
tidak ketinggalan juga mereka yang menangkap gambar wanita-wanita seksi
yang sedang asyik mandi manda di sana =) Sekiranya anda kaum perempuan,
saya nasihatkan untuk pastikan anda tidak memakai baju berwarna putih
ketika mandi kerana ditakuti gambar anda mungkin ditangkap secara
curi-curi oleh mereka yang meminati bidang fotografi. Tambahan pula,
sekiranya anda membawa kamera DSLR, akan juga dikenakan bayaran di
kaunter masuk utama =) Oleh itu, pastikan anda menangkap gambar sepuas
hati anda kerana anda bayar, tetapi bab menangkap gambar awam secara
terbuka haruslah meminta izin tuan punya badan terlebih dahulu yer =)
Sekiranya
anda bertandang ke negeri Johor, jangan lupa untuk luangkan masa anda
bercuti ke Kota Tinggi Waterfall & Resort. Sekiranya anda bercuti
bersama keluarga tersayang, jangan dilepaskan untuk menginap di resort
yang disediakan kerana pengalaman berada di tengah hutan pada waktu
malam adalah satu pengalaman yang sangat menarik. Semoga dengan
perkongsian pengalaman saya ini sedikit sebanyak dapat memberi panduan
kepada anda untuk merancang percutian perkelahan, aktiviti mendaki
gunung serta aktiviti santai dan perkhemahan kerana semuanya disediakan
di sana.
Oleh
itu, anda dinasihatkan untuk sediakan bekalan duit yang mencukupi untuk
bayaran masuk RM7 untuk dewasa, kereta RM4 serta sediakan bekalan
makanan yang disembunyikan di dalam beg kerana makanan luar adalah tidak
dibenarkan sama sekali untuk dibawa masuk ke kawasan Air Terjun. Harga
sebiji burger biasa tanpa mayonis dan sos tomato yang sedikit sahaja
sudah berharga RM3.50. Semoga anda merancang percutian ke Air Terjun
Kota Tinggi dengan selamat dan memberi seribu satu ketenangan di jiwa.
Bagi sesiapa yang ingin meluangkan masa untuk bercuti di sekitar kawasan
peranginan dan pakej jalan-jalan di sekitar kawasan Johor tetapi tidak
tahu dan mengalami kesulitan, anda boleh juga menghubungi saya atau
emelkan terus ke metafora.global@gmail.com
kerana saya boleh membantu anda untuk merancang percutian dan
menetapkan pakej-pakej percutian yang menarik di sekitar Johor Bahru
sekiranya anda ingin berkhemah, mendaki gunung, percutian di tepi laut,
ingin membuat tempahan penginapan resort dan pengangkutan serta
perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya. Akhir kata, "jom kita mengembara, nikmati eksplorasi alam semulajadi" =)
0 comments:
Post a Comment