Eksplorasi Tanjung Buai Johor
Dalam
eksplorasi kali ini, lokasi pilihan adalah aktiviti memancing di
kelong laut. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah
dari Bandaraya Johor Bahru manakala dalam 30 minit dari Desaru, Bandar
Penawar ke Pantai Tanjung Buai yang terletak jauh ke pedalaman
kampung. Namun dengan adanya jalan yang berturap memudahkan perjalanan
untuk ke destinasi kali ini. Tanjung Buai yang terletak di Kota Tinggi,
Johor merupakan antara kawasan pilihan para pemancing dan pelancong
kerana lokasinya yang berhampiran dengan kawasan pantai yang luas
terbentang dan landai seperti Desaru, Tanjung Balau, Sedili dan
Pengerang pasti menggamit mata memandang. Selain itu, banyak kemudahan
seperti hotel, pusat peranginan dan homestay turut disediakan dikawasan
sekitar untuk para pengunjung dalam tujuan memenuhi cuti-cuti Malaysia
anda.
Menceritakan
pengalaman destinasi kali ini, aktiviti memancing ini merupakan antara
hobi dan juga pengalaman baru buat saya. Selain daripada aktiviti
memancing di tepi sungai, parit-parit dan juga tepi pantai, aktiviti
memancing di kelong juga merupakan suatu pengalaman baru yang amat
berharga. Cuma bezanya memancing di kelong laut memerlukan anda untuk
mengeluarkan kos dari segi penyewaan kelong, bekalan umpan seperti
udang, umpun-umpun, sotong dan juga ikan. Selain itu, aktiviti ini
memerlukan anda untuk menyediakan kelengkapan memancing yang mencukupi.
Kalau tidak, nampak gayanya kepuasan memancing bukan ditahap maksimum
kerana anda berada di atas air. Namun begitu, anda boleh meminta pesanan
kepada pemilik kelong untuk memesan makanan atau perkara lain seperti
umpan dan juga bekalan air, cuma harga yang dikenakan agak mahal
sedikit dari harga biasa kerana upah penghantaran dan kos minyak bot ke
kelong anda.
Pemilihan
hari dan cuaca serta pasang surut air turut memainkan peranan penting.
Oleh itu, banyak perkara baru dan juga ilmu baru dapat dipelajari
disepanjang aktiviti ini. Tempahan awal kelong, waktu pasang surut air
dan juga pastikan anda menyediakan air batu yang banyak untuk pastikan
umpan dan hasil tangkapan anda sentiasa segar daripada berbau busuk
kerana tempoh memancing yang panjang. Kebiasaannya aktiviti ini sesuai
disertai antara 4 orang dan tidak lebih dari 10 orang mengikut saiz
kelong yang anda sewa. Ini bagi memastikan kawasan yang selesa bagi
melontar tali joran anda kerana biasanya pemancing membawa lebih kurang
2-4 batang joran seorang. Bayangkan kalau ada lebih kurang 30 joran di
atas kelong sudah pasti ada yang mengamuk kerana tali joran anda kusut
dan tersangkut antara satu sama lain. Oleh itu, pastikan arus dan cara
balingan ke laut kerana air laut ada arus pasang surut.
Hasil
tangkapan memancing sudah pastinya sesuatu perkara yang amat memuaskan
pemancing. Ini kerana, joran anda telah mendapat “lesen” dan juga
membuktikan kehebatan anda! Pastikan anda merekod atau menangkap gambar
hasil tangkapan kerana bukan mudah anda merasa saat itu di tempat lain.
Namun, pada waktu malam atau gelap pastikan setiap hasil tangkapan
disuluh dahulu sebelum dinaikkan ke atas kelong, ini bagi mengelakkan
sebarang ikan berbisa terkena anda. Sekiranya pemancing terkena sengat
ikan sembilang atau ikan pari, alamatnya hospital lah tempat dituju.
Saranan untuk mereka yang masih baru agar mengajak sekurang-kurangnya
seorang yang mahir dalam aktiviti memancing ini kerana sudah biasa dan
dapat mengenal jenis ikan berbisa seperti ulat bulu, ikan pari,
sembilang dan pelbagai jenis ikan lain daripada terkena anda.
Keselamatan anda harus diutamakan..!
Memasak
di atas kelong memang sesuatu pengalaman berguna buat saya. Inilah
untungnya jika anda pandai memasak. Rata-rata kelengkapan makanan adalah
yang simple sebab anda makan sebab lapar bukan nak buat candle light
dinner =) so, biasanya cuma bawa bahan-bahan yang ringan dan mudah
seperti perencah secukup rasa, sambal tumis, kicap, sos atau segala
keperluan yang biasa-biasa, masukkan bahan tersebut dalam bekas yang
kecil cukup-cukup untuk kawan-kawan mancing je. Biasanya time untuk
makan, dalam tgh malam atau tengah pagi sebab waktu ini memang amat
lapar, kejutkan sekali mereka-mereka yang tidur sebab biar semua dapat
makan. Air paip dalam botol turut disediakan, disarankan bawa air mentah
tambahan sendiri untuk ambil wudu' atau basuh muka. Dalam aktiviti
seperti ini biasanya mereka yang turut serta dah tahu kerja
masing-masing. Oleh itu, mudahlah segala aktiviti berjalan dengan
lancar. Kalau ada hasil tangkapan yang nak diwakafkan, bolehla dimasak
sekali.. segar dari ladang seperti ketam yang kami masak dan ikan-ikan
ini..
Dalam
sepanjang tiga aktiviti eksplorasi memancing kami kali ini, pelbagai
jenis ikan dan juga pelbagai nama baru turut saya belajar dan baru
berpeluang memegang fizikal spesis tersebut depan mata sendiri.
Antaranya adalah seperti ikan duri, ikan gelama, ikan kerapu, ikan
merah, ikan sembilang, ikan senangin, ikan kitang (baru first time
dengar..haha), ikan pipih, ikan pari, udang ketak, ketam dan juga ikan
yu (jerung). Selain itu, ada juga tapak sulaiman yang turut tersangkut
pada mata kail kami. Tidak dilupakan juga binatang yang seperti ular
yang bila makan umpan memang macam ikan seberat 30KG..! Itu adalah
spesis ikan berlin (saya pun baru 1st time dengar), tapi ada juga
spesis yang hampir sama tapi boleh dimakan iaitu malong..haha. saya
sendiri pun tak tahu nak bezakan, kena tanya pada yang pakar
jenis-jenis ikan ni. Suatu pengalaman berharga dan juga sudah
semestinya suatu kepuasan berganda kerana jumlah hasil tangkapan turut
sentiasa memuaskan dan tidak mengecewakan pemancing.
Setelah
tiga kali pengalaman aktiviti memancing di kelong ini dirasai, setiap
penambahbaikan turut diperbaiki yang sudah semestinya memastikan
kepuasan dan keselesaan anda semua ditahap tertinggi. Suatu pengalaman
baru yang cukup berguna untuk dikongsi bersama. Antara pengalaman
disepanjang aktiviti ini yang patut dikongsi adalah antaranya memasak di
atas laut, mabuk laut, berembun, berhujan, terkena sengat ikan duri,
terkena sengat ulat bulu, tak mandi satu hari, tangan muka rambut seluar
baju semua bau ikan, jari tercucuk mata kail, kesejukan tahap maksimum
dan juga adakalanya kepanasan tahap maksimum turut dirasai. Selain
itu, memang merupakan suatu pengalaman berharga bilamana saya dapat
melihat sendiri untuk kali pertamanya di depan mata apabila ikan duri
memakan umpan salah seorang pemancing dan belum sempat di tarik ke atas
kelong antara 1 meter sahaja lagi, ikan tersebut telah dibaham oleh
seekor ikan Alu-alu yang amat besar lebih kurang 40KG!! Macam tak
percaya pun ada sambil teruja yang amat sangat. Bagi anda yang inginkan
keselesaan, antara keperluan berguna untuk anda yang ingin merasai
pengalaman berharga ini, sila pastikan anda membawa :
- MP3 Player / Handphone + earphone kerana setiap seorang akan pasang lagu (cacamarba bunyi)
- Sarung tangan (sebab nak jaga kelembutan tangan..haha) sebab mudah nak pegang ikan licin
- Air masak/kuaci/kacang/makanan ringan (sebab boleh makan time tunggu ikan makan umpan)
- Botol air mineral yang beku (sebab ais jauh lebih lama tahan cair daripada beli ais kat kedai)
- Beg plastik sampah yang besar (untuk masukkan semua peralatan semasa naik bot)
- Kotak polystyrene besar dalam 2 kotak untuk umpan (ais) dan hasil mancing (ais)
- Alat-alat kecemasan terutama minyak angin dan minyak cap kapak (takut ada orang mabuk laut)
- Tikar lipat/sandal/kasut/baju hujan/sleeping bag/kamera/ Batu ladung saiz besar
- Bawa loceng joran dan batang berwarna (lampu hijau bila dipatahkan dan letak dihujung joran)
- Baju sejuk / sweather suatu kemestian bagi mereka yang tak tahan sejuk sebab amat sejuk time pagi-pagi
Rata-rata
harga untuk menyewa kelong untuk 24 jam adalah lebih kurang RM15-RM50
untuk seorang mengikut saiz kelong pilihan termasuk penghantaran bot
pergi dan balik. Cuma banyak kos dihabiskan untuk membeli umpan yang
mahal seperti udang hidup dan umpun-umpun dalam kuantiti yang banyak
mengikut jumlah pemancing. Biasanya kelong yang disewa menyediakan dapur
memasak, tandas, air mentah satu tong dan lampu pada waktu malam dan
anda juga tidak diganggu oleh kumpulan pemancing lain. “Hanya kita-kita
aje”. Disarankan anda turut bawa lampu picit serta peralatan tambahan
lain untuk kegunaan peribadi. Undang-undang paling kerap dilakukan
ketika pembahagian hasil adalah hanya ikan-ikan besar dan special saja
yang diambil oleh tuan punya ikan. Bagi ikan-ikan yang kecil dan banyak,
hasil dibahagikan sama rata kepada semua pemancing secara adil. Ini
bagi memastikan semua pemancing puas walaupun tidak dapat menaikkan
sebarang ikan atau baru belajar serta mabuk laut. Itulah antara keunikan
eksplorasi ini yang patut anda rasakan.
Akhir
sekali, suatu perjalanan yang agak meletihkan juga tetapi
menyeronokkan dengan pelbagai ilmu serta pengalaman yang baru. Pastikan
anda stabilkan diri dulu bila sampai ke darat semula, kerana mungkin
anda akan rasa tanah turut bergoyang akibat berada di laut yang beralun
terlalu lama. Sebab saya merasakan bumi bergoyang2 dan pening-pening
lalat juga dibuatnya..haha. Cukup setakat ini perkongsian aktiviti untuk
eksplorasi kali ini. Andai ada kesempatan bersama, mari sertai kami
dalam pelbagai aktiviti eksplorasi seterusnya kerana ada banyak lagi
perancangan aktiviti dan lokasi lain dalam aktiviti seterusnya. Atau
mungkin anda sendiri ada cadangan dan idea menarik lain untuk dikongsi
bersama, amat dialu-alukan. Sudah semestinya “Jauh Perjalanan, Luas
Pemandangan”. Sekian :-)
0 comments:
Post a Comment